Lokasi Gua Ashabul Kahfi terletak kira-kira 7km dari pusat bandar Amman, Jordan. Kawasan ini suatu ketika dahulu dikenali dengan Ar-Raqim kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut. Perkataan Ar-Raqim juga disebut di dalam Al-Quran dan Ahli Tafsir menafsirkan Ar-Raqim sebagai nama anjing dan ada yang menyatakan ia sebagai batu bersurat.
Kahf Ahlil Kahf merupakan lokasi sejarah yang membuktikan kebenaran kisah di dalam Al-Quran iaitu di dalam Surah Kahfi mulai ayat 9 hingga 26. Ayat di dalam Surah tersebut menceritakan bagaimana 7 orang pemuda yang beriman kepada Allah melarikan diri ke sebuah gua dan Allah menidurkan mereka selama 309 tahun Qamariah (300 tahun Shamsiah) sehingga mereka tidak dapat dibangunkan oleh suara apa sekalipun.
Kisah 7 pemuda ini bermula apabila mereka berhadapan dengan raja yang zalim dan mengakui bahawa mereka hanya beriman kepada Allah yang menguasai langit dan bumi. 7 orang pemuda tersebut melarikan diri dari raja yang zalim bersama seekor anjing mereka ke sebuah gua dan bersembunyi di situ lalu mereka ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun Qamariah.
Apabila mereka bangun, salah seorang dari mereka keluar untuk membeli makanan dan mendapati zaman tersebut telah berubah dari zaman mereka memasuki gua. Ini disedari apabila wang yang mereka gunakan sudah tidak laku pada zaman tersebut (zaman mereka dibangkitkan).
Pemuda tersebut kembali ke gua dan pemuda-pemuda tersebut dimatikan oleh Allah di dalam gua tersebut.
Ahli sejarah Islam dan barat telah banyak menjalankan kajian di manakah tempat berlakunya kisah 7 pemuda tersebut ditidurkan oleh Allah dalam tempoh masa yang lama. Para pengkaji Islam menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan manakalan penganut kristian mempercayai kisah ini berlaku dan menjalankan kajian mereka dari kitab bible. Pelbagai hasil kajian, pandangan telah diberikan dalam menyatakan bilakah kisah ini berlaku? Di manakah ia berlaku? Persoalan-persoalan ini telah cuba dikupas sejak zaman berzaman dan turut dibincangkan oleh 'Alim Ulama terdahulu dan dibentangkan di dalam kitab-kitab tulisan mereka.
Bilakah ia berlaku?
Pandangan pertama menyatakan kisah ini berlaku pada zaman maharaja Rum Daqyanus atau dikenali sebagai Decius yang menguasai Amman dan memerintah sekitar tahun 249-251 Masihi. Daqyanus terkenal sebagai maharaja yang amat memusuhi agama Nasrani dan menyeksa pengikut-pengikutnya. Pemuda-pemuda tersebut dikatakan bangun ketika zaman Theodicius II yang memerintah antara tahun 408 sehingga 521 Masihi.
Pandangan kedua berpendapat bahawa kisah ini telah berlaku pada zaman penguasaan Maharaja Trajan. Manuskrip sejarah membuktikan bahawa diktator ini menyembah berhala dan membunuh sesiapa sahaja yang menentang tuhan-tuhannya sehinggakan Trajan mengeluarkan peraturan berhubung dengan perkara tersebut. Siapa yang beriman selain dari tuhan yang dia sembah, mereka akan dibunuh. Tempoh penguasaan Trajan adalah di antara tahun 98-117 masihi. Pemuda-pemuda beriman tersebut dikatakan bangun dari tidur ketika zaman Theodicius yang memerintah antara tahun 408-450 masihi.
Di manakah ia berlaku?
Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa kisah ini berlaku di Turki, Jordan, Syria, Arab Saudi dan Sepanyol. Di Turki sahaja terdapat 4 lokasi dikatakan peristiwa itu berlaku (Ephesus, Tarsus, Kahramanmaras dan Mardin). Penulis telah berpeluang menziarahi 3 lokasi di mana terdapatnya Gua Ashabul Kahfi iaitu di Abu Alanda, Jordan. Ephesus, Turki dan Jabal Qassiyun, Syria.
Apa yang boleh penulis simpulkan hasil dari bacaan, pemerhatian di lokasi-lokasi tersebut dua lokasi di Ephesus dan Jabal Qassiyun tidak banyak membuktikan bahawa di situ berlakunya peristiwa tersebut. Bukti yang penulis maksudkan ialah dari ciri-ciri gua yang diterangkan di dalam ayat Al-Quran. Berbeza dengan gua yang terdapat di Abu Alanda, Jordan. Ciri-ciri seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran agak bertepatan. 3 ciri dari ayat Al-Quran yang menjadi perhatian penulis ialah :
Pertama : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 17-
17. Dan Engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada Dalam satu lapangan gua itu...
Lokasi Gua Ashabul Kahfi di Abu Alanda, Jordan terdapat sebuah lubang dari atas gua yang memasuki cahaya ketika matahari terbit dan ketika terbenam matahari berada dari arah pintu gua.
Kedua : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 21
21. ... setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah Yang mengetahui akan hal ehwal mereka". orang-orang Yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya Kami hendak membina sebuah Masjid di sisi gua mereka".
Di atas Gua Ashabul Kahfi di Abu Alanda terdapat rumah ibadat yang dibina ketika zaman tersebut. Rumah ibadat yang dimaksudkan adalah rumah ibadat penganut nasrani. Ketika zaman kerajaan Umawiah, rumah ibadat tersebut telah dijadikan masjid.
Ketiga : Firman Allah di dalam Surah Kahfi ayat 17
17. ..sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu.
Bentuk gua yang terdapat di Abu Alanda adalah luas dan lapang serta tidak dalam.
Bukti dari kesan sejarah dan arkeologi.
Beberapa bukti telah dikenalpasti dari kesan-kesan tinggalan sejarah dan arkeologi bahawa gua yang terdapat di Abu Alanda, Jordan merupakan gua di mana berlakunya peristiwa tersebut.
1. Terdapat tulisan pada lengkungan pintu di dinding sebelah Timur yang menyatakan 'Masjid diperbaharui pada tahun 117 hijrah yang merujuk kepada zaman Hisham bin Abdul Malik bin Marwan. Ini membuktikan bahawa ketika era kerajaan Umawiah mereka sudah memperharui masjid yang sebelum itu menjadi rumah ibadat nasrani. Kesan yang boleh dilihat ialah binaan mihrab (petunjuk arah kiblat) yang terdapat di atas gua tersebut.
2. Tulisan khat Kufi turut ditemui yang mengisyaratkan bahawa masjid kedua di Ashabul Kahfi diperbaharui pada zaman Khomarumiah bin Ahmad Tholun dari kerajaan Abasiah. Masjid kedua yang dimaksudkan ialah masjid yang dibina berhadapan dengan gua Ashabul Kahfi setelah masjid pertama diwujudkan di atas gua ketika zaman Umawiah.
3. Kesan Nawawis di dalam gua. Nawawis di dalam Mu'jam Wasit (m/s 962) memberi erti kubur orang nasrani yang diletakkan mayat di dalamnya. Pada Nawawis tersebut terdapat bintang segi lapan yang membuktikan tanda zaman kerajaan Rum-Byzantium pada kurun ke-3 masihi. Menjadi adat pada ketika itu, mayat-mayat nasrani akan dikuburkan di dalam bekas batu. Ini tidak mustahil bahawa mereka yang telah menguruskan mayat pemuda tersebut telah mengkebumikan mereka dengan cara dan adat mereka pada ketika itu.
4. Penemuan barangan tembikar, duit tembaga dan perak, lampu dari pelbagai zaman (Umawiah, Abasiah, Turki Uthmaniyyah) di dalam gua tersebut dan sekitarnya. Ia membawa maksud bahawa tempat itu telah dijaga oleh pelbagai zaman yang berlalu.
5. Al-Waqidi di dalam kitabnya Futuhat Sham telah menulis bahawa beliau bersama yang lain telah berhenti di Ain Ma' berhampiran gua ashabul kahfi. Mereka berhenti di Ain Ma' tersebut berwuduk, solat dan tidur di situ sebelum meneruskan perjalanan keesokkan harinya ke tanah Palestin. Ain Ma' terletak 70 meter dari gua ashabul kahfi.
6. Pokok zaitun berusia ratusan tahun tumbuh berhadapan gua. Pokok tersebut telah mati dan kesan batang pokok zaitun yang berusia ratusan tahun itu kini ditempatkan di dalam muzium mini di dalam gua.
7. Penemuan tulang di dalam Nawawis. Dikatakan bahawa tulang-tulang tersebut adalah kepunyaan pemuda-pemuda tersebut.
Dari beberapa penemuan dan bukti yang ada. Berkemungkinan peristiwa yang telah dinyatakan di dalam Surah Kahfi mengenai pemuda-pemuda yang ditidurkan selama 300 tahun Shamsiah telah berlaku di Abu Alanda, Jordan.
Home »
Uncategories
» Ashabul Kahfi
Ashabul Kahfi
Written By admin on Kamis, 23 Juni 2011 | 03.56
Label:
Uncategories
Posting Komentar